Saya ada menonton siaran televisyen
mengenai rumah berhantu. Selain adanya kehadiran lembaga yang hodoh, dikatakan
orang ramai sering mendengar suara- suara seperti orang menangis. Dikatakan
bahawa penghuni rumah tersebut meninggal akibat kemalangan jalan raya. Persoalan
saya, saya percaya kepada kehadiran makhluk jin yang suka menghuni rumah yang
ditinggalkan. Tetapi, suara menangis ataupun bayangan pemilik rumah yang telah
meninggal dunia itu, adakah kerana roh si mati tidak diterima bumi? Kalau tidak
silap, saya pernah terbaca hadis yang mengatakan ada roh yang tidak diterima
oleh bumi. Jika benar demikian, ke manakah roh ini pergi?
Jawapan Ust Zaharuddin (Diterbitkan di Majalah-i)
Apabila
roh sudah berpisah dari tubuh, ia berada di alam yang dinamakan Barzakh, dan ia tidak akan mampu sama sekali untuk
kembali ke alam dunia semula sama ada dalam keadaan baik atau
buruk. Dakwaan roh pulang kembali ke rumahnya setelah hari-hari tertentu adalah
TIDAK BENAR.
Tidak kiralah sama ada roh itu dalam keadaan baik atau buruk. Manakala jika
benar kelihatan mahkluk seperti si mati dan kendengaran suara-suara menangis,
maka pandangan Ulama adalah ia hanyalah angkara jin dan syaitan yang menyerupai
si mati dan gangguan mereka, tidak lebih dari itu.
*
Bukti Bahawa Roh Tidak Boleh Kembali
Firman Allah ertinya :
"Hingga apabila datang kematian
kepada seseorang dari mereka ( orang kafir) dia berkata : "Ya Tuhanku
kembalikanlah aku ke dunia, agar aku berbuat amal yang soleh terhadap apa yang
telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak (jawapan Allah), sesungguhnya itu
adalah perkataan yang diucapkannya sahaja (janji kosong). Dan di hadapan mereka
ada dinding (barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan"
(Al-Mu'minuun : 99-100).
Imam Mujahid (Tabi’in dan anak murid
Ibn Abbas r.a) dan Ibn Zaid
berkata tentang ayat ini :
"Barzakh
adalah seperti satu tembok yang menghalang orang yang mati kembali ke
dunia."
Firman Allah ertinya :
"Allah SWT memegang jiwa (roh)
ketika matinya (seseorang) dan memegang jiwa(roh) orang yang belum mati di
waktu tidurnya, maka Dia tahanlah jiwa yang lain sampai waktu yang
ditentukan.."
(Az-Zumar : 42)
Melalui ayat ini, jelas bahawa roh berada
di dalam pegangan Allah SWT dan Allah tidak membenarkan sama sekali roh untuk
kembali ke dunia, sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat sebelum ini.
Terdapat juga ulama berpandangan bahawa roh
orang yang telah mati boleh bertemu dengan roh orang hidup ketika mereka sedang
tidur iaitu melalui mimpi (Ar-Ruh, Ibn Qayyim, ms 20). Bagaimanapun, tiada yang berpandangan roh
tersebut boleh bertemu dengan orang hidup semasa sedar mereka. Semua roh yang
telah di ambil Allah SWT akan sibuk dengan urusan mereka sama ada baik atau
buruk.
Prof
Ahmed Azzedine Al-Bayanuny dan Prof. Mohamed Hussin pernah menegaskan bahwa dakwaan orang-orang kristian
yang boleh bertemu dengan roh si mati dengan teknik jampian khas adalah
penipuan yang menggunakan jin dan syaitan. Ia bukannya roh yang sebenar (Rujuk Al-Iman Bil Malaika dan
Al-Ruhiya al-Haditha).
*
Destinasi Roh Selepas
Mati
Ulama berbeza pandangan dalam menentukan
tempat tinggal roh selepas mati seperti berikut (Rujuk
Syarh Al-‘Aqidah At-Tohawiyah, Tahqiq Syuaib Arnout, 2/613-614, cet Muasassah
ar-Risalah) :-
a) Roh
Mukmin di dalam Syurga dan Roh Kafir di dalam Neraka.
b) Kedua-duanya di dalam kubur mereka, dan
Roh Mukmin di bukakan taman Syurga serta memperolehi nikmatnya dan Kafir di
bukakan lubang azab neraka.
c) Roh Mukmin di alam tinggi (‘illiyyin) di
langit ketujuh dan Kafir di ‘Sijjin' di dunia yang ketujuh terbawah.
d) Roh para Shuhada' (mati syahid) berada
di Syurga dan Roh seluruh Mukmin lain berada di kuburan mereka (pandangan
Imam Ibn Abd Al-Barr).
Antara dalil dalam hal destinasi roh
selepas kematian ini ada diterangkan di dalam hadis:
"Roh yang Mukmin dalam keadaan
burung-burung yang bergantungan di pokok-pokok di dalam Syurga, sehinggalah
Allah mengembalikannya kepada jasadnya pada hari dibangkitkannya."
(Ibn Majah, no 1449; Ahmad, no 15716 12/315 cet Dar al-Hadis;
Sohih menurut Ibn Hibban no. 743, Syuaib Arnaout dan Ahmad Syakir)
Berdasarkan sebuah hadis lain, apabila
seorang Mukmin itu mati rohnya akan dibawa naik ke langit sehingga sampai ke
langit ke tujuh, maka berkata Allah SWT:
“Tuliskan
buku hambaku ini di ‘illiyyin' (tempat yang tinggi) dan kemudian
dikembalikannya ke jasadnya kembali dan di datangi pula oleh dua Malaikat”
(Ringkasan Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud no 4753, Sohih menurut
al-Hakim, Syuaib Arnaout dan Ahmad Syakir)
Manakala Roh si jahat dan Kafir pula juga
di bawa naik ke langit dengan bau yang amat busuk dan digelar dengan nama yang
terburuk dan apabila sampai di langit, maka tidak dibukakan pintu langit
kemudian Nabi SAW membacakan ayat 40 dari Surah al-A'raf . Kemudian Allah SWT
mengarahkan agar dtuliskan namanya di dalam ‘Sijjin' (neraka) kemudian di
campakkan Rohnya dan Nabi SAW membacakan firman Allah:
"Sesiapa
yang syirik kepada Allah, maka adalah seolah-olah jatuh dari langit lalu
disambar oleh burung, atau diterbangkan ke tempat yang jauh"
(Al-A’raf: 31)
“Kemudian
dikembalikan kepada jasadnya, kemudian di datangi Malaikat lalu dibukakan pintu
dari neraka, lalu datanglah kepanasannya dan racunnya, dan kuburnya pula
menyempit sehingga bersilang rusuknya.”
(Ringkasan dari Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud no 4753, Sohih
menurut al-Hakim, Syuaib Arnaout dan Ahmad Syakir)
Berdasarkan ayat Quran juga, roh si jahat
juga akan di azab di dalam alam barzakhnya:
"Api neraka dikenakan kepada
mereka (kafir) pada pagi dan petang, manakala apabila tiba kiamat mereka di
masukkan bersama keluarga Firaun yang dikenakan azab"
(Ghafir: 40)
Kesimpulannya, Roh tidak mampu kembali ke
alam dunia kerana Barzakh adalah tembok yang menghalangnya, dan Roh mukmin di
berikan nikmat di alam barzakh manakala Roh di kafir diazab sehingga kiamat.
Wallahu'alam.
0 comments:
Post a Comment